mutakhir

Gelagat Bador, Abby mencuit hati

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

PENGUNJUNG ke Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV), Kuala Berang pasti teruja dengan gelagat dua anak gajah berusia enam tahun yang membuat persembahan berkonsepkan pembelajaran berteraskan pendidikan.

Anak gajah jantan dipanggil Bador dan Abby itu diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu di hutan sebelum ditempatkan di KECV sejak 2014 dan ia cekap dalam menerima arahan serta menghiburkan.

Justeru tidak pelik sekiranya dua anak gajah yang mendapat jolokan Upin dan Ipin kerana mempunyai saiz sama selain keakraban seperti watak kartun itu menjadi tarikan utama pengunjung di KECV.

Pengurus KECV, Muhamad Zaki Mamat berkata, dua anak gajah itu mempunyai kisah sedih tersendiri yang akan diceritakan kepada pengunjung ketika haiwan itu membuat persembahan.

“Bador ditemui ketika masih kecil di sebelah ibunya yang mati akibat diracun di Kampung Durian Bador, Sekayu dan sebab itu, anak gajah itu diberi nama Bador sempena tempat ia ditemui.

“Manakala Abby yang ketiadaan ibu dipindahkan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang ke KECV.

“Sejak berusia dua tahun, dua gajah itu ditempatkan bersama dan dilatih untuk menerima arahan, malah kedua-duanya sudah peka terhadap arahan diberikan jurulatih seawal usia tiga tahun.

“Sebenarnya dua anak gajah itu tidak mempunyai kebolehan khusus seperti gajah terlatih di Thailand, namun mampu mendengar arahan dan beraksi mengikut rutin harian mereka,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 10 daripada 18 gajah di KECV mampu mendengar arahan jurulatih untuk membuat persembahan kepada penonton.

Menurutnya, gajah itu tidak dilatih untuk membuat persembahan sarkas, tetapi hanya membuat persembahan berkonsepkan pembelajaran dan pendedahan kepada penonton mengenai tabiat dan cara kehidupan haiwan itu di dalam hutan.

“Antaranya demonstrasi mengangkat kayu menggunakan belalai, menunjukkan kepakaran membezakan makanan dan objek lain selain menyembur air menggunakan belalai.

“Selain Bador dan Abby, gajah remaja berusia 18 tahun yang bernama Jambu turut menjadi tarikan KECV kerana kemesraan gajah itu melayan pengunjung untuk bergambar.

“Jambu seakan faham dan pandai bergambar, gajah itu akan menghampiri pengunjung selepas tamat persembahan sambil menghulurkan belalainya seakan-akan ‘berposing’ di hadapan kamera bersama pengunjung,” katanya.

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 10:20pm
d