mutakhir

Pengalaman ngeri 6 pemancing berakhir [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

ENAM pemancing selamat tiba di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Batu Maung, Georgetown, malam ini.

Semua mereka tiba tepat 10.10 malam dengan bot ditunda kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Kira-kira 50 orang terdiri daripada ahli keluarga dan sanak-saudara semua mangsa dilihat menunggu sejak 7 malam tadi sejurus mendapat maklumat mereka ditemui dalam keadaan selamat.

Sejurus tiba di atas kapal, doa kesyukuran dibacakan kerana semua mereka selamat ditemui.

Tekong bot, Mohd Khairul Anuar Mohd Salleh, 30, berkata, bot dikemudinya berlanggar dengan tali kapal yang dibuang dalam laut menyebabkan kotak gear pecah.

Menurutnya, ketika itu 6 petang serta semua mereka dalam perjalanan pulang dan disebabkan kerosakan enjin itu menyebabkan dia terpaksa melabuhkan sauh.

“Bagaimanapun, kira-kira 4 pagi, sauh tidak melekat akibat ombak kuat menyebabkan bot kami dihanyutkan arus.

“Ketika itu, kami hanya mampu berdoa dan turut meminta bantuan kepada nelayan lain namun mereka mungkin tidak nampak bot kami,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.

Menurutnya, mereka bernasib baik apabila ada nelayan ternampak kelibat mereka 4.35 petang tadi dan kemudian terus menunda bot kepada APMM.

“Ini pengalaman paling ngeri yang pernah saya alami kerana ia pertama kali berlaku sepanjang saya menjadi tekong bot,” katanya.

Dalam kejadian semalam, enam pemancing dikhuatiri hilang di perairan Pulau Pinang selepas keluar memancing dan semua ahli keluarga membuat laporan polis berhubung kes terbabit.

Semua pemancing yang hilang itu dikenali sebagai Mohd Khairul Anuar Mohd Salleh, 30 (tekong), Mohd Azmil Abdul Rahman, 31, Mohd Faiz Ibrahim, 30, Lee Chee Sen, 49, Khairil Hafidzi Tajuddin, 31 dan Mohd Rajis Jamil, 35.

Semua mereka, bagaimanapun, berjaya ditemui kira-kira 20 batu nautika dari Pulau Kendi 4.35 petang hari ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] Enam pemancing ditemui selamat [METROTV]

Enam pemancing dikhuatiri hilang

Disiarkan pada: February 11, 2019 @ 11:36pm
d