mutakhir

Dipukul sampai lumpuh

Oleh Siti Rohana Idris

TUMPAT: Seorang wanita dari Kampung Paya Pasir, Wakaf Bharu di sini, mahu pembelaan terhadap anak lelakinya yang kini lumpuh akibat dipukul sekumpulan individu tahun lalu.

Akibat kejadian itu, Law Boon Peng, 28, kini hanya terbaring berikutan terdapat darah beku di kepalanya.

Law hanya bergantung kepada susu khas yang disalurkan menerusi tiub di hidungnya dan bahagian tekaknya pula ditebuk serta dimasukkan tiub untuk menyedut kahak.

Owee Giok Lim, 51, berkata, kehidupan anaknya berubah selepas terbabit dalam pergaduhan pada Disember tahun lalu namun pelakunya masih bebas walaupun laporan polis sudah dibuat.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa bayaran atau ganti rugi tapi ingin mereka yang memukul anak saya ditangkap. Sehingga kini, saya difahamkan pelaku masih bebas dan anak saya kekal terbaring lumpuh separuh badan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Katanya, Law anak sulung daripada dua beradik sudah menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas kejadian itu dan perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu pada 19 Februari ini.

“Anak kerap bertanya bila dia akan sembuh dan berharap dapat meraikan sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini dalam keadaan sihat namun harapan itu lebur,” katanya.

Wanita itu berkata, suaminya Law Ah Wang, 58, hanya bekerja sebagai pemandu jengkaut dan memperoleh gaji RM1,200 sebulan sedangkan perbelanjaan anak sulungnya itu melebihi pendapatan.

“Buat masa ini, kami terpaksa mengeluarkan sedikit wang simpanan bagi menyediakan keperluan anak seperti pembelian susu khas dan lampin pakai buang.

“Kami terbeban dengan pembelian susu khas kerana harganya mahal iaitu RM88 setin dan untuk tempoh sebulan, kami memerlukan 12 tin dengan harga mencecah lebih RM1,000,” katanya.

Nasib keluarga itu mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang menghulurkan sumbangan susu dan lampin pakai buang.

Pengerusinya Pui Tiong Lam berkata, pihaknya akan membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 8:53am
d