mutakhir

'Kita isytihar perang'

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) akan mengisytihar perang ke atas pemerdagangan manusia dan buruh paksa di negara ini.

Menterinya, M Kulasegaran berkata, sekian lama Malaysia menutup mata terhadap kejadian buruh paksa yang membawa kepada keadaan pekerjaan sangat dahsyat dan menyedihkan seperti dilaporkan dalam berita.

Malah, katanya, kisah mengenai buruh paksa dan pemerdagangan manusia ini juga seperti yang berlaku di Wang Kelian, Perlis.

“Saya gembira kerajaan baru-baru ini menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kewujudan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit di Wang Kelian yang ditemui tiga tahun lalu, seperti dilaporkan media.

“Ini menunjukkan Malaysia Baharu serius dalam memerangi pemerdagangan manusia dan akan melakukannya secara telus,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama banyak syarikat mematuhi undang-undang buruh namun, ada juga yang terbabit melakukan kesalahan dan mengamalkan beberapa aspek buruh paksa sekali gus akan dibawa ke muka pengadilan.

“Perkara ini dilaporkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) iaitu berjuta pekerja di seluruh dunia adalah mangsa buruh paksa tetapi, saya katakan kita bertekad melawan amalan ini. Kita akan memerangi buruh paksa,” katanya.

Dalam pada itu, Kulasegaran berkata, beliau membuat beberapa cadangan kepada Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) yang mana KSM mempunyai kerjasama tiga pihak membabitkan wakil kerajaan, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF); Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC); Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW); Persatuan Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA); Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan wakil pekerja.

“Sebagai pihak yang ada menandatangani perjanjian dengan ILO, KSM perlu mengambil kira pandangan NLAC dalam hal membabitkan dasar sumber manusia.

“Saya juga mengarahkan kementerian ini untuk meminda undang-undang yang 'ketinggalan' dan menjadikannya seiring dengan keadaan semasa pada sidang Parlimen bulan hadapan jika diluluskan oleh Kabinet,” katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat lapan akta berkaitan dengan sumber manusia di negara ini perlu dipinda sebelum 2020.

Katanya, Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 diluluskan di Dewan Rakyat pada 17 Oktober tahun lalu.

Tujuh lagi akta berkenaan ialah Akta Kerja 1955; Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76); Ordinan Buruh (Sabah Bab 67); Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994; Akta Perhubungan Perusahaan 1967; Akta Kesatuan Sekerja 1959; dan Akta Standard-Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 2:24pm
d