mutakhir

Rezeki pandai 'belai' rusa

Oleh Nur Izzati Mohamad

MEMPUNYAI kebolehan menjinakkan haiwan liar mendorong seorang lelaki di Kampung Permatang Bertam, Kepala Batas, untuk menternak rusa.

Mohd Zamani Md Isa, 44 , memberanikan dirinya untuk menternak rusa sejak tiga tahun lalu dan dia turut membekalkan daging haiwan itu untuk dijual di pasaran Pulau Pinang.

Bermula dengan tiga rusa, Mohd Zamani turut membantu penternak dari seluruh negara terutama pengusaha zoo mini yang sering mendapatkan khidmatnya untuk menjinakkan haiwan itu.

“Apabila kita mempunyai rasa sayang terhadap haiwan, ia memudahkan kita untuk mengendalikan serta mengetahui cara membela haiwan dengan cara betul.

“Rusa adalah haiwan agak liar dan saya bersyukur kebolehan serta mengetahui cara membelainya kini membolehkan haiwan ternakan saya menjadi manja serta mudah didekati,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, dia mempunyai tujuh rusa kerana selebihnya sudah dijual berikutan permintaan tinggi terhadap daging haiwan berkenaan.

“Permintaan daging rusa di negeri ini tinggi walaupun harganya agak mahal.

“Setiap kilogram daging rusa dijual dengan harga RM80 manakala rusa hidup dijual dengan harga serendah RM1,500 bagi anak rusa sehinggalah RM4,500 bergantung kepada jenis baka dan berat,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, kebolehannya menjinakkan haiwan berkenaan bukan sahaja daripada segi belaian, tetapi mengetahui perkara asas seperti menyusu anak rusa dan bermain dengan haiwan itu pada setiap hari.

Katanya, teknik dan cara penjagaan haiwan itu perlu teliti kerana ia memerlukan emosi stabil ketika mengendalikan rusa berkenaan.

“Saya mempunyai perancangan untuk membesarkan lagi kandang rusa selain bercadang mewujudkan ladang rusa di Tasek Gelugor yang mampu menempatkan sehingga 400 ekor haiwan itu.

“Orang ramai yang ingin bermain dengan rusa dan mengetahui lebih mendalam tentang haiwan itu dialu-alukan datang ke kandang rusa saya tanpa dikenakan bayaran,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 3:37pm
d