mutakhir

Ya suara Nik Abduh, tetapi...

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

RAKAMAN audio yang tersebar berhubung pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO diakui milik suara Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan konteks ayat yang disampaikan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu bukan seperti yang dicanangkan oleh pihak tertentu.

Beliau berkata, seseorang perlu meneliti keseluruhan ucapan Nik Abduh untuk memahami maksud sebenar memandangkan banyak huraian, bukannya mendengar separuh daripada rakaman itu.

“Nik Abduh akui suara dan audio (milik) dia, tetapi tidak membawa maksud yang sebenar.

“Disebut PAS terima duit UMNO dan bukan itu maksudnya kerana banyak lagi huraian. Bila kita mendengar audio itu, kita kena dengar keseluruhan apa maksud kenyataannya, bukan ambil separuh kerana kalau separuh memang ada benda tidak kena.

“Contohnya, apabila Nik Abduh kata (Allahyarham Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat) pun terima duit UMNO, (yang dimaksudkan) bukan duit UMNO, tapi duit orang UMNO yang beri sumbangan terutama di sekolah Maahad Darul Anuar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Al Khatiri Kofee, di Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar berkata, ada orang yang ideologi UMNO tetapi apabila Tok Guru nak buat sekolah, dia nak beri sumbangan.

Media sebelum ini melaporkan, nama Nik Abduh mula dikaitkan dengan rakaman audio yang didakwa suara Ahli Parlimen Bachok itu yang tersebar membuat pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO.

Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan berkenaan dan menganggap sebagai fitnah.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, PAS sudah melakukan siasatan terperinci bagi meneliti apa yang berlaku termasuk ucapan yang disampaikan Nik Abduh secara keseluruhan.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 4:05pm
d