mutakhir

Marzuki kekal Setiausaha Agung BERSATU

Oleh BERNAMA

PENJELASAN Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Marzuki Yahya mengenai isu sijil akademik palsu yang dikaitkan dengannya adalah memadai.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sehubungan itu, Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar akan kekal sebagai Setiausaha Agung parti berkenaan.

Bagaimanapun beliau menegaskan, perbuatan berbohong adalah bertentangan dengan kerajaan Pakatan Harapan khususnya BERSATU yang berpegang teguh kepada integriti dan kejujuran.

“Saya fikir dia telah beri penjelasan yang mencukupi. Penjelasan situasi keadaan sebenar, orang boleh berkata apa-apa, tapi saya sudah duduk bincang dengan dia dan dia telah keluarkan kenyataan.

Bagi saya cukup memadai dan dia kekal sebagai Setiausaha Agung,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Lawatan Kerja ke Batalion 4 Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia di Semenyih hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kedudukan Marzuki sebagai timbalan menteri akan ditentukan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kelak.

Sebelum ini, aktivis politik Muhsin Abdul Latheef membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Zulfahan Pagon yang mendakwa program pengajian jarak jauh (PJJ) bagi kursus pentadbiran perniagaan yang diikuti oleh Marzuki tidak wujud di Universiti Cambridge.

Marzuki kemudian mengemukakan bukti beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Logistik) dari Cambridge International University (CIU), Amerika Syarikat.

Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, beliau turut memaparkan salinan transkrip rekod akademik dan sijil ijazah daripada CIU sebagai bukti beliau seorang lulusan CIU dan bukannya University of Cambridge, United Kingdom.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 4:43pm
d