mutakhir

Dayus kamu!

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG lelaki ditahan polis susulan menumbuk isterinya hingga muka wanita itu bengkak dan luka di mata, gara-gara cemburu buta.

Kejadian berlaku di kawasan tempat letak kereta bangunan dekat Kampung Pengkalan Pandan, Chukai, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, sebelum itu, suspek berusia 30 tahun menghubungi mangsa yang berumur 26 tahun untuk ke bangunan berkenaan pada 1.30 tengah hari.

“Ketika tiba di rumah sewa itu, suspek bertindak merampas telefon bimbit mangsa dan disebabkan takut, mangsa hanya mendiamkan diri sebelum membawa suspek ke bangunan yang dimaksudkan.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di bangunan itu, suspek enggan keluar kereta dan bertanya mengenai panggilan telefon yang dibuat mangsa sebelum ini.

“Mangsa memaklumkan ia adalah nombor seorang wanita yang juga rakan sekerjanya, namun suspek tidak percaya dan menuduh mangsa menghubungi lelaki lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Said berkata, pasangan itu pada mulanya sekadar bertikam lidah namun pertengkaran bertukar serius apabila suspek gagal mengawal amarah dan menumbuk mata mangsa.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Chukai dan suspek ditahan di rumah sewanya di Kampung Pengkalan Pandan pada 3.05 pagi semalam.

“Siasatan mendapati pasangan itu dalam proses bercerai dan sudah tinggal berasingan ketika ini,” katanya yang memberitahu suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 5:16pm
d