mutakhir

Menentang RUU 355 bukannya anti syariah - Mujahid

Oleh Siraj Mohd Zaini

GOLONGAN yang menentang Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 tidak wajar digelar sebagai anti syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pelaksanaan hukum syariah bukan terletak kepada hudud semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai perkara lain, antaranya ekonomi serta kemakmuran negara.

“Isu RUU 355 perlu dilontar secara demokratik, (iaitu) akan ada pihak yang terima dan ada pandangan menolak perkara ini.

“Apabila saya melontarkan mengenai RUU 355, saya digelar anti hudud. Jika menentang (RUU 355) ia tidak bercanggah dengan syariat.

“Janganlah kita polemik dengan sempitkan maksud syariah, seolah-olah syariah itu hanya hudud,” katanya ketika menjadi tamu Program Bicara Minda di Dewan Karangkraf, Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, konsep Maqasid Syariah akan dijadikan dasar pentadbiran negara supaya hasil pelaksanaannya akan dilihat lebih praktikal serta menyeluruh.

“Kita perlu tolak kepada kejumudan serta memaki hamun jika berbeza pandangan. Adalah penting untuk kita bina negara tanpa rasuah kerana dosa rasuah sama seperti tidak solat.

“Atas sebab itu, saya tekankan dasar Islam yang penuh dengan rahmah. Usaha ini akan mengambil sedikit masa untuk diterima,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan golongan pendakwah supaya menyampaikan isi kuliah agama yang benar-benar memberi kesan kepada pendengar kerana mengajar agama bukan hanya untuk membuatkan orang ketawa atau berjenaka sahaja.

Katanya, pendakwah perlu meletakkan contoh pendakwah yang beradab dan berakhlak dengan isi kandungan disampaikan berkesan apabila didengar umat.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 5:45pm
d