mutakhir

Ibu Jamaludin Jarjis saman 2 cucu

Oleh Murni Wan Omar

IBU Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter pada 2015, memfailkan saman terhadap dua cucunya selepas didakwa gagal memasukkan tiga syer syarikat bernilai RM1.3 bilion sebagai aset harta pusaka.

Aminah Abdullah, 85, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, awal bulan lalu melalui Tetuan Wan Marican, Hamzah & Shaik.

Beliau menamakan anak sulung allahyarham, Nur Anis, 34, dan Ikwan Hafiz, 32, sebagai defendan pertama dan kedua.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Norliza Hussin.

Peguam Aqilah Pawancheek yang mewakili Aminah memaklumkan bahawa mahkamah sudah menetapkan 2 April depan untuk pengurusan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Firuz Jafril.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Aminah, mendakwa kedua-dua defendan sebagai pentadbir bersama harta pusaka allahyarham gagal memasukkan sebahagian saham dari tiga buah syarikat iaitu Rantai Wawasan Sdn Bhd, Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insights Wawasan Sdn Bhd ke dalam senarai aset dan liabiliti milik allahyarham.

Plaintif mendakwa sebagai ibu kandung yang sah dan waris kepada Jamaludin, beliau mempunyai kepentingan di dalam harta pusaka.

Beliau mendakwa kedua-dua cucunya itu gagal memasukkan ke dalam senarai aset dan liabiliti harta Jamaludin (si mati) iaitu 3,000,000 saham syarikat Rantai Wawasan; 6,000,000 saham dalam syarikat Alpine Motion dan dua saham dalam syarikat Ivory Insights Wawasan.

Menurutnya, bukan menjadi niat Allahyarham pada masa hidup bahawa kepentingan benefisial dalam tiga syarikat itu terletak hak kepada sesiapa selain daripada dirinya sendiri.

Beliau mendakwa Allahyarham tidak memegang saham tiga syarikat itu atas namanya sendiri kerana Jamaludin memegang beberapa jawatan kerajaan dan politik sebelum kematiannya pada tahun 2015.

Plaintif mendakwa kedua-dua defendan sebagai pentadbir bersama harta pusaka si mati gagal memasukkan saham tiga syarikat itu ke dalam senarai aset di dalam Surat Kuasa Mentadbir.

Menurutnya, kegagalan memasukkan saham itu ke dlam Senarai Aset dan Tanggungan sejak 6 Julai 2017 (Tarikh Surat Kuasa Mentadbir diberikan) sehingga hari ini, adalah salah dan tidak wajar.

Selanjutnya, beliau mendakwa, kegagalan itu adalah bertujuan untuk menafikan hak dan kepentingan plaintif sebagai benefisiari harta pusaka si mati.

Plaintif juga mendakwa terdapat beberapa maklumat tidak didedahkan kepadanya iaitu apartmen yang dimiliki Allahyarham di Boston, Amerika Syarikat bernilai RM10 juta.

Selain itu beliau mendakwa ada diminta menandatangani dua dokumen iaitu surat penolakan berkaitan permohonan defendan untuk geran surat kuasa dan ikatan perkiraan keluarga.

Menurutnya, kedua-dua defendan tahu bahawa beliau seorang buta huruf.

Sehubungan itu Aminah menuntut kedua-dua defendan memindah milik saham tiga syarikat itu kepada pentadbir bersama harta pusaka.

Beliau juga menuntut pentadbir bersama harta pusaka meminda senarai aset di dalam geran surat kuasa dengan memasukkan saham yang dituntut serta mengakaunkan dividen, bonus, keuntungan dan isu terbitan dalam tiga syarikat kepada beliau.

Turut dituntut kedua-dua defendan menandatangani kesemua dokumen yang perlu selain kos serta relif lain yang sesuai.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 7:19pm
d