mutakhir

10 minit kutip cebisan otak

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI maut selepas digilis sebuah lori tangki dalam kemalangan di Kilometer 453 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran susur keluar Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa, Abd Rahman Ismail berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada kepala.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Mejar (APM) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 4.57 petang tadi.

“Seramai empat anggota APM Kuala Selangor yang bertugas di Plaza Tol Rawang bagi Op Selamat 14 (Operasi Selamat 14) dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati mayat mangsa di antara lorong kiri dan tengah laluan terbabit dalam keadaan kepalanya pecah akibat digilis lori tangki berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Muaz berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengutip cebisan otak mangsa di atas laluan berkenaan.

“Difahamkan kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha 125Z ditunggang mangsa bergesel dengan lori tangki terbabit sebelum dia diseret kenderaan itu sejauh kira-kira 200 meter.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 7:51pm
d