mutakhir

Ahli politik perlu bersifat 'mobile'

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

“SAYA dulu parti UMNO kemudian sertai DAP, PKR dan AMANAH (Pakatan Harapan), tapi kalau DAP, PKR dan AMANAH membelot serta tidak setia kepada negara, saya akan tukar kepada parti lain.

“(Ini kerana) kita ‘mobile’. Kita tidak terikat,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ahli politik perlu bersifat ‘mobile’ (fleksibel) dan terpaksa menukar pendirian mengikut keadaan sekeliling.

Mengambil contoh dirinya, Dr Mahathir berkata, ahli politik tidak akan dapat berfungsi dengan baik sekiranya gagal mencerap situasi semasa.

“Saya dulu kecam Kit Siang (Lim Kit Siang), kecam Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), macam-macam, tapi sekarang ini saya berada bersama mereka dan mereka juga dulu kecam saya, (kini) berada bersama saya.

“Jadi kadang-kadang kita terpaksa tukar pendirian kita mengikut apa yang berlaku di sekeliling kita.

“Kalau kita terikat kepada sesuatu pemimpin atau parti sehingga bila parti itu jadi parti penyamun pun, kita kekal juga. Itu bermakna kita bukan ahli politik tetapi ahli untuk diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penerimaan masuk bekas tujuh ahli parlimen UMNO dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan menerima kad keahlian masing-masing, hari ini.

Mereka adalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Berita berkaitan

Tujuh bekas ahli parlimen UMNO masuk BERSATU

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 8:54pm
d