mutakhir

[UPDATE] Tiada pun surat saman

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Siti A’isyah Sukaimi

BEBERAPA jam selepas menerima kad keahlian sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), bekas ahli parlimen UMNO mengesahkan mereka belum menerima surat saman daripada parti itu.

Ia susulan tindakan mereka keluar parti dan mendaftar sebagai ahli parti lain.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid berkata, sehingga kini tiada surat saman atau surat tindakan diterima, malah tidak mengetahui sama ada ahli parlimen lain senasib dengannya atau tidak.

“Setakat ini belum terima. Yang lain pula saya tidak tahu, itu kena tanya mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kad Keahlian BERSATU kepada bekas Ahli Parlimen UMNO di Putrajaya, hari ini.

Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin pula memberitahu tidak mengetahui mengenai saman berkenaan.

“Buat masa ini saya tidak tahu,” katanya.

Sebelum ini, UMNO mengumumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat daripada parti itu yang melompat parti dan menjadi wakil rakyat bebas atau mewakili parti lain.

Parti itu didakwa akan menuntut bayaran balik yang membabitkan kos dan pemimpin dikehendaki mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Selain Rosol dan Hamzah, lima Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti ialah Ahli Parlimen Mersing Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya dan Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh.

Dua lagi ialah Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Selain itu, Ikmal Hisham berkata, beliau yakin kemasukannya sebagai ahli BERSATU akan difahami oleh penduduk di kawasannya.

“Saya yakin mereka akan memahami dan saya akan bawa manfaat kepada penduduk di kawasan saya,” katanya.

Berita berkaitan

Tujuh bekas ahli Parlimen UMNO masuk BERSATU [METROTV]

Ahli politik perlu bersifat ‘mobile’

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 9:15pm
d