mutakhir

Cinta luka bertoreh muka

Oleh Norizuan Shamsuddin

WANITA parah selepas ditoreh di muka oleh lelaki warga Bangladesh dekat pusat beli-belah di Jalan SS 20/27, Damansara Jaya, Petaling Jaya, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa, 24, luka hampir lima sentimeter bermula dari bibir hingga ke bahagian pipi kanan selepas lelaki warga Bangladesh terbabit bertindak menoreh bahagian muka dengan objek tajam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, susulan kejadian mangsa dikejarkan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak polis.

“Mangsa dilaporkan stabil selepas mendapat rawatan di PPUM dan dia dibenarkan keluar sehari selepas kejadian.

“Berdasarkan maklumat, pihak polis berjaya menahan suspek berusia lingkungan 20-an terbabit, Jumaat lalu.

“Siasatan awal mendapati suspek terbabit adalah bekas teman lelaki mangsa dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca lelaki berkenaan bertindak menoreh muka wanita itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Zani berkata, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 10:31pm
d