mutakhir

Menyusup kaut hasil laut

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Mersing: Mahu ‘sapu’ bersih hasil laut tempatan. Itu tindakan nelayan Vietnam yang dikesan menggunakan taktik terbaharu menyusup masuk ke negara ini sebelum menyewa bot nelayan tempatan.

Mereka yang menjalankan aktiviti menangkap ikan dan sotong dipercayai memindah dan menyeludup keluar semua hasil tangkapan menggunakan bot lebih besar yang menunggu di sempadan perairan negara.

Kegiatan itu dibongkar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) susulan penahanan dalang sindiket pemalsuan buku pelaut terbesar selain tangkapan 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) di laut berhampiran Tanjung Kempit, Endau di sini.

Semua 19 PATI itu dikesan membayar sejumlah wang ditetapkan sindiket untuk mendapatkan buku pelaut palsu yang membolehkan mereka menjalankan kegiatan menangkap ikan atau pulang ke Vietnam sesuka hati.

Perkhidmatan sindiket pemalsuan buku pelaut itu bukan saja membabitkan PATI Vietnam, malah membabitkan warga asing lain yang tamat tempoh buku pelaut di Pahang dan Johor.

Timbalan Pengarah Maritim Negeri Pahang (Operasi) Maritim Malaysia, Kepten Maritim V Pannir Selvan berkata, tangkapan itu hasil kerjasama Bahagian Risikan Ibu Pejabat Maritim Putrajaya, Maritim Negeri Pahang dan Zon Maritim Malaysia jam 2.30 pagi, 30 Januari lalu.

“Hasil maklumat dikumpulkan Zon Maritim Mersing menggerakkan sebuah bot kilat dan mengesan bot nelayan tempatan berwarna biru kuning dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika bot kilat cuba menahan bot itu, anggota mengesan sebilangan PATI terjun ke laut dan melarikan diri dengan berenang ke Pantai Kampung Semanyir, Endau. Namun semua mereka ditahan,” katanya pada sidang media di APMM Pengkalan Maritim Mersing di sini, semalam.

Susulan penahanan itu kami membongkar kegiatan pemalsuan buku pelaut didalangi lelaki Vietnam dikenali sebagai Nguyen Hai Au, 43.

Menurutnya, siasatan susulan membawa kepada penahanan seorang wanita dipercayai tekong darat mendalangi aktiviti memalsukan dokumen dan menguruskan perjalanan PATI jam 10.15 pagi, 3 Februari lalu.

“Dalam serbuan itu, pelbagai dokumen penting ditemui termasuk pasport milik warga Vietnam, buku pelaut dan kelengkapan cop kelulusan buku pelaut di sebuah premis di Taman Cemerlang 02, Tanjung Gemok, Rompin, Pahang.

“Premis itu turut didiami suspek utama kes berkenaan dan kegiatan itu dibongkar hasil kerjasama Bahagian Risik, Ibu Pejabat Maritim Putrajaya, Maritim Pahang dan Zon Maritim Mersing,” katanya pada sidang media di Pengkalan Maritim Mersing di sini, semalam.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati sebilangan warga asing ditahan datang dari beberapa daerah di Johor dan Pahang.

“Mereka memasuki negara ini secara sah namun memiliki pasport dan buku pelaut tamat tempoh sebelum dibantu sindiket pemalsuan berkenaan.

“Kami percaya PATI itu menjadikan perairan Endau sebagai laluan utama untuk keluar dan masuk dari negara ini ke Vietnam selain menjalankan aktiviti menangkap ikan dan sotong. Tangkapan ini melumpuhkan sindiket pemalsuan dokumen terbesar membabitkan warga Vietnam di Johor dan Pahang.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan lokasi Endau menjadi lubuk rezeki kepada nelayan Vietnam menangkap ikan di perairan negara susulan bantuan sindiket buku pelaut palsu itu,” katanya.

Menurutnya, kawasan Endau memiliki banyak bot nelayan terutama bot Kelas C dan warga Vietnam ini menyewa bot terbabit dari warga tempatan bagi menangkap hasil laut di perairan negara.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 9:30am
d