mutakhir

Permohonan nikah lulus 30 minit

Oleh Asrol Awang

KELULUSAN permohonan kebenaran berkahwin oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) kepada bakal pengantin di Kuantan, boleh diperoleh dalam tempoh 30 minit berbanding tiga hari sebelum ini.

Kemudahan itu selaras dengan pelaksanaan permohonan kebenaran berkahwin secara atas talian (online) yang berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.

Kadi Kuantan, Abdul Zaki Md Zain berkata, sejak pelaksanaannya, pihaknya menerima 898 permohonan bermula dari 2 Januari lalu hingga semalam.

Katanya, kelebihan menggunakan kemudahan secara atas talian bertujuan memendekkan masa permohonan kelulusan iaitu daripada tiga hari kepada 30 minit sahaja.

“Pemohon hanya perlu datang sekali sahaja berurusan di PAID Kuantan berbanding sebelum ini sebanyak tiga kali.

“Ia juga dapat mengurangkan kesilapan memasukkan data di dalam sistem dan mempercepatkan urusan orang ramai kepada bakal pengantin.

“Selain itu, pelaksanaan ini juga memaksimumkan penggunaan internet yang boleh diakses melalui telefon pintar.

“Bagi mereka yang tidak dapat menggunakan sistem itu, kami masih lagi menyediakan perkhidmatan secara manual,” katanya di Kuantan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, mereka yang ingin berkahwin boleh melayari laman sesawang iaitu di https://mohnikoh.pahang.gov.my/.

Katanya, setakat ini, sistem itu hanya dilaksanakan di PAID Kuantan yang juga projek printis sebelum diperluaskan ke daerah lain di negeri ini.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 11:07am
d