mutakhir

Tokan dadah ditahan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

KEGIATAN licik seorang lelaki yang disyaki tokan dadah kecil-kecilan dengan mengedar dadah di rumahnya di Pendang tumpas selepas dicekup Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) semalam.

Lelaki berusia 21 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan itu di rumahnya di Kampung Tok Aji, Pendang sejak dua tahun namun tidak pernah ditahan sebelum ini.

Bagaimanapun, kegiatannya terbongkar selepas ditahan dalam serbuan yang dilakukan AADK Pendang bersama anggota polis dari Balai Polis Kubur Panjang, 7 pagi semalam.

Ketua Unit Penguatkuasa AADK Pendang, Mohd Hafis Mansor berkata, ketika serbuan dilakukan, suspek dikatakan sedang dalam keadaan khayal dan sedang menunggu pelanggan datang ke rumahnya.

“Suspek berjaya ditahan dan turut ditemui dadah jenis heroin dengan berat 5.07 gram yang disiap dibungkus.

“Sementara itu. dalam serbuan berasingan di Kampung Lubuk Batu, Pendang, seorang lelaki berusia 26 tahun yang didapati berada di bawah pengaruh dadah ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 0.53 gram bersamanya.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek ini mendapati mereka positif dadah jenis morfin dan methamphetamine,” katanya.

Mohd Hafiz berkata, suspek kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A2 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan operasi dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di daerah ini.

Operasi itu disertai empat anggota AADK dan tujuh anggota polis.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 11:38am
d