mutakhir

Purata dua pekerja 'tidak pulang' setiap hari tahun lalu

KIRA-kira 890 kes kematian dicatat akibat kemalangan dalam perjalanan pergi balik ke tempat kerja tahun lalu.

Perkara itu dinyatakan sendiri Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar selepas Majlis Penyerahan Geran Bantuan Kewangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada institusi dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 2019, di sini, hari ini.

Menurut Mahfuz, angka berkenaan menunjukkan penurunan berbanding 2017 yang mencatatkan 924 kes kematian sama.

“Ini bermakna, setiap hari purata dua pekerja tidak pulang semula ke rumah akibat terbabit dalam kemalangan maut,” katanya.

Bagaimanapun, kes kemalangan pergi dan balik ke tempat kerja pada tahun lalu meningkat 35,195 kes berbanding 33,319 kes pada 2017 dengan kira-kira 74 peratus kemalangan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Oleh itu, kita berharap lebih banyak pihak bekerjasama dengan PERKESO melaksanakan program kesedaran kepada golongan pekerja.

“Kita tidak kisah menaikkan peruntukan bantuan kewangan asalkan program dijalankan memberi kesan positif dan boleh mengurangkan kes kemalangan pergi balik kerja,” katanya.

Mahfuz berkata, tahun ini PERKESO memperuntukkan Geran Bantuan Kewangan kepada 33 institusi dan NGO yang membuat permohonan membabitkan jumlah RM4,643,463.30.

Ia merangkumi 280 program seminar atau kursus, 225 program pencegahan kemalangan perjalanan, 87 khidmat runding cara, dua program penyelidikan dan pembangunan serta dua penerbitan video promosi.

Antara institusi dan NGO yang menerima peruntukan itu ialah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Mahfuz berkata, aktiviti pencegahan tahun ini akan memberi tumpuan kepada pencegahan dalam kalangan golongan pekerja muda serta pekerja asing yang juga pencarum PERKESO mulai 2019.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 2:42pm
d