mutakhir

Maut kepala terhentak tiang lampu

Oleh Nur Saliawati Salberi

“SAYA mewakili ahli keluarga yang lain berharap, pemandu kereta itu tampil membuat laporan dan memberi kerjasama kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan,” luah abang kepada mangsa kemalangan maut langgar lari di persimpangan lampu isyarat Melaka Sentral, di sini, malam tadi.

Hanya ingin dikenali sebagai Fiq, 31, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, adiknya Ros Izanie Amira Mohd Yakub, 23, dikatakan dalam perjalanan untuk berjumpa rakannya sebelum terbabit kemalangan.

Katanya, adik bongsunya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan malah bersikap periang seperti selalu dan mereka sekeluarga masih terkejut dengan kejadian menimpa Ros Izanie terutama emak, Rofidah Mohd Ali, 56.

“Semalam emak pengsan ketika melihat jenazah adik di lokasi kejadian dan terpaksa ditenangkan oleh adik-beradik yang lain,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, hari ini.

Menurut Fiq, walaupun adiknya itu sudah tiada, namun dia amat berbangga kerana Roz Izanie sempat manabur bakti kepada golongan memerlukan dengan menjadi penderma organ, kerana adiknya sudah mendaftar sebagai penderma organ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sebelum kejadian mangsa yang juga pembonceng menunggang motosikal bersama rakannya berusia 20 tahun dalam perjalanan dari arah Bachang menghala ke Bukit Baru.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa yang berada di kiri jalan bergesel dengan sebuah kereta Perodua Kenari.

“Akibat pergeseran itu, motosikal berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan mengakibatkan mangsa tercampak ke atas pembahagi jalan dan kepalanya terhentak pada tiang lampu,” katanya.

Afzanizar berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala penunggang motosikal mengalami luka di tangan.

“Sehingga petang ini, pemandu kereta yang didakwa terbabit dalam kemalangan itu masih belum hadir membuat laporan polis.

“Justeru, pihak polis meminta kerjasama orang awam atau saksi kejadian yang melihat kejadian dan mempunyai maklumat mengenai kereta Perodua Kenari untuk tampil atau menghubungi balai berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 4:08pm
d