mutakhir

Indeks jenayah turun lebih 32 peratus

Oleh BERNAMA

INDEKS Jenayah sekitar daerah Shah Alam mencatatkan penurunan sebanyak 32.08 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, bagi tempoh bermula awal Januari hingga semalam, sebanyak 144 kes dilaporkan berbanding 212 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Ia menunjukkan penurunan 68 kes dan saya percaya penurunan ini adalah usaha anggota yang aktif melakukan rondaan cegah jenayah dan berhubung terus dengan masyarakat awam,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Menurut Baharudin, pihaknya juga sudah melipatgandakan operasi cegah jenayah sejak bermulanya Op Selamat 14 pada 29 Januari lalu dengan menugaskan kira-kira 40 anggota melakukan rondaan di lokasi panas setiap malam dari jam 10 malam sehingga 4 pagi.

“Polis Shah Alam juga melancarkan Op Limau yang menumpukan kawasan tumpuan awam berisiko berlakunya jenayah samun, antaranya di bank, kedai emas, kedai pajak gadai dan pusat beli-belah.

“Alhamdulillah sepanjang Op Limau ini, tiada sebarang kes samun berlaku, malah orang ramai juga selesa dengan kehadiran polis lengkap bersenjata di sekitar pusat beli-belah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Op Selamat 14 yang berlangsung dari 29 Januari sehingga semalam, Baharudin berkata, sebanyak 8,225 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap pengguna jalan raya sekitar daerah ini.

“Sepanjang tempoh berkenaan, enam kemalangan maut direkodkan membabitkan empat pemandu dan penumpang kereta serta dua penunggang serta pembonceng motosikal.

“Op Selamat kali ini mencatatkan sedikit penurunan berbanding Op Selamat tahun lalu apabila 9,166 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di daerah ini.

“Manakala jumlah kemalangan maut adalah sama sebanyak enam kes,” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 4:11pm
d