mutakhir

Padah sorok dua tan bijih

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua (W2) Johor menahan dua lelaki warganegara Indonesia selepas menemui dua tan bijih timah dalam sebuah bot tanpa sebarang dokumen memiliki atau membawa yang sah, hari ini.

Dalam kejadian 10.10 pagi itu, dua lelaki berusia 32 dan 44 tahun ditahan ketika bot ronda PPM W2 melakukan rondaan di sekitar Sungai Batu Pahat dekat Muar.

Timbalan Komander PPM W2, Superintendan Noor Azman Jamal berkata, selepas menahan bot berkenaan, pemeriksaan lanjut dijalankan dan mendapati terdapat dua tan bijih timah yang diisi di dalam 50 guni.

“Guni berisi bijih timah ini disorokkan dalam tong di bahagian depan (luar) atas dek bot berkenaan.

“Hasil semakan mendapati tiada sebarang dokumen pemilikan atau kebenaran membawa yang sah dikemukakan mereka. Kita menahan tekong dan awak-awak serta barangan dirampas,” katanya.

Beliau berkata, semua rampasan dianggarkan RM50,000 dan mereka diserahkan kepada Kastam Diraja Malaysia, Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 100 Akta Kastam 1967 kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah untuk membawa masuk barangan ke Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 4:17pm
d