mutakhir

Lemang periuk kera sumber rezeki

Oleh Mohd Rafi Mamat

MASALAH buah pinggang kronik yang ditanggung sejak tiga tahun lalu tidak menghalang Latipah Abdullah, 45, berusaha mencari rezeki dengan menjual kelongsong periuk kera kepada peniaga makanan tradisional di Kuantan.

Ibu dua cahaya mata itu berkata, untuk memenuhi permintaan selain menambah pendapatan keluarga dan rawatan hemodialisis setiap minggu, dia juga turut menghasilkan lemang periuk kera untuk pasaran tempatan.

“Rezeki saya sentiasa murah apabila perniagaan yang diusahakan secara jualan terus dan atas talian kini semakin berkembang malah mempunyai pelanggan tetap.

“Saya bersyukur apabila setiap minggu menerima tempahan antara 2,000 hingga 8,000 kelongsong daripada pelanggan tetap di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya hari ini.

Dia yang menetap di FELDA Panching Selatan, Kuantan berkata, sokongan suami, Ramli Hanifiah, 56, dan dua anak remajanya melancarkan lagi perniagaan yang diusahakan sejak tiga tahun lalu.

Latipah yang kini bergerak menggunakan kerusi roda sejak enam bulan lalu berkata, dia turut menggunakan khidmat penduduk kampung termasuk masyarakat Orang Asli untuk mencari kelongsong itu di kawasan hutan Gambang dan Muadzam Shah, Rompin.

Katanya, kawasan hutan dua daerah itu menjadi habitat tumbuhan periuk kera jenis bulat selain kedudukan hampir dengan jalan utama memudahkan lagi aktiviti mendapatkan produk tumbuhan berkenaan.

“Setiap minggu saya perlu rawatan hemodialisis tiga kali, perbelanjaan ditanggung sepenuhnya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang.

“Untuk membeli ubat, pemeriksaan darah dan sebagainya saya perlu menyediakan perbelanjaan kira-kira RM1,000 sebulan,” katanya.

Latipah berkata, sokongan suami yang setia menjaga dan membantunya hingga sanggup berhenti kerja memberi semangat kepadanya untuk berniaga dan menambah pendapatan keluarga.

Dia yang sebelum ini terbabit sebagai jurugambar perkahwinan dan pelbagai program rasmi berkata, sokongan saudara dan rakan-rakan menjadi kekuatan untuknya berusaha lebih gigih walaupun terpaksa berkerusi roda.

“Selagi terdaya saya akan terus berusaha menghasilkan lemang periuk kera dan kelongsongnya bagi memenuhi permintaan pengguna.

“Harapan saya perniagaan ini terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang prihatin dengan nasib saya,” katanya.

Ends....

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 5:04pm
d