mutakhir

Noda empat malam

Oleh Mohd Hilmie Hussin

DEMI melepaskan rindu, wanita sanggup menaiki bas dan perkhidmatan Grab sejauh kira-kira 36 kilometer (km) untuk bermalam dengan kekasih.

Malangnya, pasangan kekasih warga Indonesia itu dicekup imam, bilal dan penduduk selepas empat malam bersekedudukan dalam rumah di Semabok, Melaka, Ahad lalu.

Difahamkan, pasangan kekasih iaitu lelaki berusia 30 tahun dan wanita berusia 29 tahun itu, dicekup dua pegawai syarak iaitu imam dan bilal Masjid Al-Abrar Semabok, di sini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani berkata, pasangan terbabit dicekup bersekedudukan pada 11.40 malam, di rumah yang disewa lelaki yang juga seorang duda.

“Ketika ditahan, lelaki terbabit hanya berseluar pendek dan tidak berbaju manakala pasangannya lengkap berpakaian, sebelum kedua-duanya dibawa ke Balai Polis Kandang, Melaka, untuk diserahkan kepada JAIM.

“Kemudian kita (JAIM) membuat tangkapan semula dan membawa pasangan terbabit ke Bahagian Penguatkuasaan untuk siasatan lanjut,” kata Rahimin ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati, lelaki terbabit berkerja sebagai tukang mesin rumput dan tinggal di rumah sewa bersama tiga rakannya, namun teman wanitanya yang juga janda anak satu, berkerja sebagai operator kilang di Masjid Tanah.

Rahimin berkata, wanita terbabit mengakui sudah empat hari bermalam di situ selepas berkenalan selama setahun setengah di Facebook.

Beliau berkata, pasangan terbabit diberi notis saman dan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Katanya, kedua-duanya dibenar pulang dengan jaminan daripada majikan masing-masing.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 6:03pm
d