mutakhir

Pasukan MUST bantu padam kebakaran

Oleh Safuri Kamarudin

KHIDMAT pasukan elit Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) iaitu pasukan Multi Skill Team (MUST) digunakan dalam operasi memadamkan kebakaran Gunung Baling yang kini memasuki hari kelapan.

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Jamil Mat Daud berkata, sehingga kini masih terdapat dua titik kebakaran dikesan pada ketinggian 200 meter hari ini.

“Untuk operasi hari ini, kita mengunakan kepakaran pasukan MUST yang mempunyai kepakaran mengenai kebakaran hutan dan gerak kerja dengan unit udara.

“Seramai 15 anggota pasukan itu membantu operasi ini bagi memastikan kebakaran tidak terus merebak dan berlarutan bagi tempoh yang lama,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Katanya, operasi hari ini membabitkan 85 anggota keselamatan pelbagai agensi yang dibahagi kepada tiga pasukan pemadaman dimana satu pasukan dikerah ke titik kebakaran kuari manakala dua lagi membuat pemantauan di kawasan yang berpotensi berlaku kebakaran semula.

Beliau berkata, pemantauan daripada udara turut menggunakan dron ke kawasan lereng dan celah batu bagi memastikan kawasan yang terbakar itu sudah dipadamkan sepenuhnya.

“Semalam hanya dua tompok api masih terbakar dan kita mengesan satu tompokan lama yang kembali marak.

“Tompokan api itu terletak berdekatan dengan kawasan operasi dan anggota keselamatan memberi tumpuan memadamkan di kawasan itu,” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 6:04pm
d