mutakhir

Mana kau nak lari...

Oleh Mohd Sabran Md

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) giat memburu seorang lelaki warga Vietnam yang juga ketua sindiket pemalsuan cop kelulusan buku pelaut negara berkenaan.

Timbalan Pengarah Maritim Malaysia (Operasi) Pahang, Kepten Maritim V Pannir Selvan berkata, meskipun suspek, Nguyen Hai Au, 43, sudah melarikan diri pihaknya masih berusaha menjejaki dalang sindiket berkenaan bagi memastikan kegiatan sama tidak berulang.

“Siasatan mendapati sindiket ini didalangi lelaki warga Vietnam bernama Nguyen Hai Au yang melarikan diri selepas mengetahui bot membawa 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan.

“Suspek berjaya dikesan, namun berjaya meloloskan diri. Ada kemungkinan dia mendapat bantuan orang tempatan untuk melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati lelaki itu mempunyai kaitan dengan wanita warga Vietnam berusia 30-an yang ditahan di sebuah rumah di Taman Cemerlang 02, Tanjung Gemok, Rompin, Pahang pada 10.15 pagi, 3 Februari lalu.

“Kami percaya penemuan 36 pasport milik warga Vietnam, 54 buku pelaut negara Vietnam, kelengkapan pemalsuan cop kelulusan buku pelaut Vietnam membongkar kegiatan lelaki berkenaan yang mempunyai pertalian langsung dengan wanita itu,” katanya.

Menurutnya, ketika ini agensi berkenaan mengharapkan bantuan ramai untuk menyalurkan maklumat untuk menjejaki ketua sindiket berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Mersing di nombor 07-7982529 atau tampil ke pejabat bagi membantu kami menahan suspek,” katanya.

Berita berkaitan:

'Menyusup kaut hasil laut

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 6:18pm
d