mutakhir

Cikgu kena penumbuk

Oleh Siraj Mohd Zaini

DIPERCAYAI menjalin hubungan cinta dengan remaja perempuan, guru sebuah sekolah rendah di Kuala Langat cedera ditumbuk dua lelaki termasuk bapa saudara remaja itu Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 8.30 malam di Jalan Damai 15, Taman Damai Morib, mangsa berusia 38 tahun dan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Simpang Morib, Banting, bengkak dan berdarah di bahagian hidung.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang juga kaunselor di sekolah itu berjumpa remaja berusia 19 tahun terbabit yang ditemani bapa saudaranya berusia 37 tahun dan seorang lelaki lain.

Menurutnya, ketika pertemuan itu, bapa saudara remaja itu dalam keadaan mabuk dan agresif.

“Mangsa dipercayai menjalin hubungan dengan remaja perempuan itu.

“Bagaimanapun, perbincangan yang diadakan malam itu menjadi tegang apabila remaja itu memarahi mangsa kerana mengganggu hidupnya.

“Ketika mangsa mahu menghubungi polis, bapa saudara remaja itu bersama rakannya menumbuk mangsa di bahagian hidung sehingga berdarah,” katanya hari ini.

Azizan berkata, mangsa yang terkejut kerana ditumbuk itu kemudiannya melarikan diri sebelum menghubungi polis.

Katanya, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi namun remaja itu bersama dua lelaki berkenaan tiada di tempat kejadian. “Bagaimanapun, bapa saudara remaja perempuan itu akhirnya dicekup di Taman Delima, Banting 2.30 pagi semalam.

“Soal-siasat mendapati suspek mengaku memukul selain membuat provokasi ugutan jenayah kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis masih mengesan seorang lagi suspek yang terbabit dengan kejadian berkenaan.

“Punca kejadian dipercayai salah faham antara mangsa dan remaja itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah dan Seksyen 323 kanun sama menyebabkan cedera,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azizan turut menafikan dakwaan mangsa seperti tular di laman sosial Facebook miliknya bahawa wujud isu gangsterisme dalam kes itu selepas risikan dan operasi dijalankan pihaknya.

“Siasatan mendapati keterangan mangsa tidak konsisten berhubung kes gangsterisme itu.

“Semakan juga mendapati, mangsa masih menjalani rawatan psikiatri di Hospital Klang dan Banting sejak 2013,” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 6:26pm
d