mutakhir

Suspek pecah masuk syarikat direman

Oleh Nor Farhani Che Ad

DUA suspek yang ditahan semalam susulan kejadian pecah masuk premis syarikat pemaju di Taman Selasih, Kulim, Isnin lalu direman empat bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, mahkamah membenarkan tahanan berusia 23 dan 26 tahun itu direman sehingga Sabtu ini.

“Mereka ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk dan curi.

“Motif pecah masuk adalah mencari duit untuk tujuan membeli dadah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, seorang lagi suspek berusia 43 tahun yang ditahan Isnin lalu turut direman selama empat hari bermula semalam.

Isnin lalu, premis perniagaan disyaki dipecah masuk pada 8.30 pagi selepas pekerja syarikat itu mendapati pelbagai barangan dipecahkan suspek.

Pekerja syarikat itu kemudian membuat laporan polis selepas diarahkan majikannya.

Dalam kejadian itu, syarikat berkenaan dipercayai kerugian kira-kira RM20,000 selepas beberapa barangan, termasuk peti besi dan simpanan wang tunai pejabat dipecahkan.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 6:41pm
d