mutakhir

'Pelik benar soalan mu anak...'

Oleh Rosli Ilham

“KALAULAH saya tak ada nanti, siapa yang akan ambil dan hantar adik ke sekolah,” kata Muhammad Haziq Irfan Ismail, kepada ibunya sehari sebelum dia maut dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Padang Pulut, Dungun, hari ini.

Dalam kemalangan 7 pagi itu, Muhammad Haziq Irfan, 14, maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta Perodua Viva.

Ketika kejadian, kereta Perodua Viva dipandu seorang wanita berusia 54 tahun dikatakan memasuki simpang kanan jalan sebelum dirempuh motosikal mangsa dari arah bertentangan.

Ibunya, Zarina Ibrahim, 47, berkata, dia terkejut dengan pertanyaan anaknya itu petang semalam dan tidak menyangka itu petanda anaknya akan pergi meninggalkan mereka sekeluarga.

“Selepas mengambil adik perempuannya berusia 10 tahun di sekolah petang semalam, dia (arwah) duduk di sisi saya sambil bercakap perkara itu.

“Saya tidak ambil pusing dengan perkara itu dan menganggap ia hanya perbualan biasa,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun.

Katanya, sejak beberapa hari ini, dia sudah merasa tidak sedap hati dan jantungnya asyik berdebar-debar serta tidak dapat tidur lena.

“Selepas solat Subuh, saya sentiasa berdoa dan berzikir kepada Allah SWT minta supaya kami sekeluarga dijauhkan segala malapetaka.

“Mengikut firasat orang tua jika kita berperasaan seperti itu akan berlaku kematian kepada ahli keluarga terdekat dan saya ingatkan cucu saudara yang koma sejak tiga bulan lalu akibat kemalangan akan meninggal dunia, tetapi siapa sangka rupa-rupanya ia petanda kehilangan anak saya,” katanya.

Menurut guru Tabika di Kampung Pinang Mas itu, kali terakhir dia bertemu dengan anak keempat daripada lima beradik itu pada pagi ini sebelum anaknya bertolak ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut.

“Kami turun bersama, dia ke sekolah manakala saya ke tempat kerja, namun sebaik tiba di sebuah persimpangan masuk ke tabika, seorang pemandu van kilang tiba-tiba menahan saya dan memaklumkan anak kemalangan.

“Saya segera ke lokasi kejadian dan mendapati anak sudah meninggal dunia dengan kecederaan teruk di muka dan kepala,” katanya.

Katanya, dia sering berdoa supaya semua anaknya menjadi anak soleh dan berada di dalam syurga.

“Sudah ditakdirkan Allah SWT mengambil arwah pada usia muda dan menunggu saya di syurga nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

“Kami sudah mengambil keterangan daripada pemandu kereta terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2019 @ 7:04pm
d