mutakhir

Tedung 'nak belajar'

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Puluhan kanak-kanak dan petugas di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Jeram Tekoh di sini, berdepan detik cemas selepas menyedari seekor ular tedung selar berada dalam premis berkenaan.

Ular seberat lapan kilogram dan sepanjang tiga meter itu ditemui di dapur premis berkenaan sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada jam 9.10 pagi.

Reptilia berkenaan kemudian berjaya ditangkap oleh dua anggota APM yang ke lokasi selepas dimaklumkan mengenai kehadiran ular terbabit.

Anggota APM mengambil masa 10 minit sebelum berjaya menangkapnya dan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Pegawai APM Daerah Gua Musang Mohd Yussalmi Yusoff berkata, ular berkenaan masih berada di dapur premis berkenaan ketika pihaknya tiba dan kesemua kanak-kanak sudah dibawa keluar bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Menerusi tangkapan terbaru ini, pihak kami sudah menangkap tiga reptilia berkenaan sejak semalam (kelmarin) iaitu masing-masing di kediaman penduduk di Kampung Tanah Puteh dan Kampung Star Baru.

“Tangkapan di rumah penduduk di Kampung Tanah Puteh membabitkan seekor ular katam tebu ketika berada di celah bumbung rumah, jam 7.33 malam.

“Sebelum itu, jam 11.30 pagi anggota kami turut menangkap ular sawa batik dalam sebuah rumah di Kampung Star Baru,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, sepanjang awal tahun ini, pihaknya sudah berjaya menangkap 20 ekor ular yang menceroboh rumah penduduk.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 8:06am
d