mutakhir

180Kg daun ketum dalam rumah kosong

Oleh Siti Rohana Idris

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas 180 kilogram (kg) daun ketum di Kampung Kubang Pak Itam, Pasir Mas, semalam.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dalam serbuan 2.30 petang di rumah yang tidak bernombor itu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, lokasi serbuan adalah rumah kosong dengan pintu hadapan rumah dibiarkan tidak berkunci.

“Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah daun ketum yang siap dibungkus di dalam plastik lutsinar di atas lantai di dapur seberat 180kg dengan anggaran nilai RM12,600.

“Kami percaya rumah berkenaan dijadikan tempat simpanan sementara atau transit sebelum daun ketum berkenaan diseludup ke negara jiran.

“Semua barang kes dirampas dan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di Pasir Mas, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Rudzuan berkata, sepanjang Operasi Gelora Khas sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina lalu, 13 jenis barangan dirampas membabitkan nilai berjumlah RM16,175.

“Barangan yang dirampas adalah 720 kg beras, 1,050 liter petrol, 4,000 biji telur puyuh serta beberapa makanan ringan lain lagi dipercayai dibawa masuk dari Thailand.

“Kita turut tahan dua lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 25 tahun bersama dua kereta milik mereka kerana terbabit dalam kes penyeludupan petrol ke negara jiran,” katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 9:25am
d