mutakhir

Leka judi di pusat kecantikan rambut

Oleh Nurul Amanina Suhaini

POLIS menahan 16 individu termasuk seorang wanita ketika leka berjudi dalam serbuan di premis kecantikan rambut, Sungai Rengit, Kota Tinggi, hari ini.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, 3 pagi tadi.

Pegawai Turus D7 JSJ IPK Johor, Deputi Superintendan Mohd Zairi Badderul @ Badrol berkata, serbuan membabitkan 24 anggota termasuk pegawai itu, berjaya menahan semua warga tempatan berusia 21 hingga 71 tahun.

“Perjudian jenis Tong Kaw itu mula beroperasi sejak sembilan hari lalu, selain menjadikan premis kecantikan rambut sebagai sarang bagi menganjurkan perjudian.

“Siasatan awal mendapati, sindiket perjudian ini menggunakan taktik atau modus operandi dengan menjadikan kepingan chip dan wang tunai sebagai nilai pertaruhan, sekali gus bertujuan mengaut keuntungan dengan begitu mudah.

“Hasil risikan pasukan D7 Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat, JSJ IPK Johor berjaya melakukan serbuan di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Kota Tinggi, hari ini.

Mohd Zairi berkata, berikutan itu, pihaknya merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM67,314, wang tunai SG$1,000 (RM2,994.47), meja kayu, 10 kerusi, dua dadu kecil, 16 batu Mahjong, 38 keping cip bernilai RM 1,000 setiap satu.

Katanya, turut dirampas, enam cip bernilai RM5,000 setiap satu, 38 cip bernilai RM100 setiap satu, satu set decorder kamera litar tertutup (CCTV) dan satu beg galas.

“Nilai pertaruhan keseluruhan perjudian ini dianggarkan kira-kira RM139,114 dan semua individu yang ditahan dibawa ke IPD Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan jika didapati bersalah, pemain perjudian boleh dihukum denda tidak melebihi RM 2,000.

“Manakalah tuan punya atau penduduk atau penganjur perjudian disiasat mengikut Seksyen 4(1)a atau Seksyen 4(1)b Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 kerana membenarkan permainan judi dimainkan dalam rumahnya,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 11:23am
d