mutakhir

'Syukur dapat sudah dokumen pengenalanku'

Oleh BERNAMA

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) menyerahkan 37 gantian dokumen pengenalan diri kepada mangsa kebakaran di perkampungan air Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat, hari ini.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, antara dokumen diserahkan kepada mangsa kebakaran pada 13 Januari lalu termasuklah 14 Cabutan Sijil Lahir, 13 gantian Mykad dan 10 gantian Mykid.

“Penyerahan gantian dokumen pengenalan diri ini adalah salah satu program turun padang dilaksanakan JPN Sabah bertujuan membantu memudahkan proses membuat gantian dokumen pengenalan diri mangsa yang terbabit dalam bencana.

“Kita tahu banyak kesukaran dialami mangsa untuk membuat gantian dokumen pengenalan diri kerana beberapa faktor seperti jarak yang terlalu jauh dari pejabat JPN.

“Oleh itu kita mengambil inisiatif untuk membantu mereka,” katanya kepada Bernama selepas menyerahkan gantian dokumen pengenalan diri itu kepada mangsa.

Turut hadir Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Mohamad Mohamarin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi dan Pengarah JPN Sabah, Datuk Ismail Ahmad.

Terdahulu, kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu memusnahkan 81 rumah membabitkan 303 mangsa, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Mohammad Razin berkata, hanya 37 gantian dokumen pengenalan diri diserahkan kerana mangsa lain sudah mengambil inisitif sendiri hadir ke pejabat JPN melakukan urusan gantian selain ada mangsa sempat menyelamatkan dokumen mereka.

Pada masa sama, beliau menegaskan supaya mengaitkan penyerahan gantian dokumen pengenalan diri dengan pemberian dokumen kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Saya sering kali mengingatkan orang ramai tidak salah faham dengan program ini kerana ia adalah program menggantikan dokumen pengenalan diri dan bukannya pengeluaran kad pengenalan baharu kepada mereka yang tidak layak,” tegasnya.

Sementara itu, Mohammad Razin berkata, pihaknya akan terus melaksanakan program turun padang melalui Program Mobile Ihsan untuk membantu penduduk yang layak mendapat taraf warganegara mendapatkan kad pengenalan atau sijil lahir.

“Kita memahami masalah atau isu dihadapi penduduk yang menetap di pedalaman khususnya Sabah dan Sarawak.

“Mereka sukar ke pejabat JPN untuk mendaftarkan kelahiran atas beberapa faktor termasuk jarak dan kekurangan sistem perhubungan,” katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 12:16pm
d