mutakhir

Dibaham 'Sang Bedal' ketika cari ketam

Oleh Mohd Rizal Abdullah

HASRAT seorang bapa saudara bersama anak saudaranya mencari ketam di Sungai Niah, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripadanya dibaham buaya, pagi semalam.

Mangsa, Muhd Tahir Majid Syam, 40, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa kira-kira jam 6 pagi di tebing sungai oleh penduduk kampung berhampiran.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintendan Mohd Sabri Zain berkata, mangsa bersama anak saudaranya, Muhammad Arfian Putra Effendy, 24, ke muara sungai untuk mencari ketam, kira-kira jam 1 petang kelmarin.

Menurutnya, kedua-dua mereka kemudian berpecah sebelum anak saudara mangsa melihat mangsa terkapai-kapai di bahagian tengah sungai sebelum tenggelam.

“Mangsa ditemui keesokannya dalam keadaan tidak bernyawa, seterusnya dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

“Pemeriksaan perubatan mendapati terdapat kesan gigitan buaya pada tubuh mangsa,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa bekerja di sebuah ladang sawit berhampiran sungai berkenaan.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 1:12pm
d