mutakhir

'Lori panas' terbabit kemalangan maut

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

SEBUAH lori tiga tan yang dilaporkan hilang di Setapak, Kuala Lumpur, awal pagi tadi, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler hingga menyebabkan pemandu kenderaan berat itu maut.

Kejadian di Kilometer (KM) 114.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, hari ini, menyebabkan pemandu treler, Ahmad Thahir Samsu, 29, maut manakala dua lelaki yang menaiki lori tiga tan dilaporkan dicuri mengalami kecederaan.

Difahamkan, lori dinaiki dua lelaki ketika kejadian kemalangan kira-kira jam 7.20 pagi dilaporkan hilang sebelum itu kira-kira jam 5.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, siasatan awal mendapati, lori tanpa muatan dipandu lelaki berusia 36 tahun itu bersama rakan lelaki belum dikenal pasti identiti dilaporkan dicuri awal pagi tadi selepas pemilik lori berkenaan membuat laporan polis.

Katanya, siasatan polis mendapati lori dinaiki dua lelaki terbabit dari arah ibu negara menuju Kuantan dilanggar treler dipandu Ahmad Thahir di lorong kiri.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbabas ke kiri jalan dan terbalik.

“Pemandu dan penumpang lori mengalami kecederaan manakala pemandu treler maut di tempat kejadian selepas parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan media.

Zundin berkata, siasatan di lokasi kemalangan mendapati jalan dua lorong satu hala ke Kuantan dan cuaca cerah ketika kejadian.

Katanya, mayat pemandu treler dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk bedah siasat dan dua mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.

“Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala kes kecurian lori itu disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul,” katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 2:49pm
d