mutakhir

'Irah tetap menantu saya'

Oleh Siti Rohana Idris

“WALAUPUN anak sudah tiada, saya tetap menganggap Irah sebagai menantu buat selama-lamanya,” kata Mek Jah Dolah, ibu kepada arwah Fikri Ghazali yang meninggal dunia dalam kemalangan di Shah Alam, Selangor, Isnin lalu.

Mek Jah, 65, berkata, meskipun hanya empat hari sahaja sempat bergelar isteri, Nor Shahirah Mohd Fuad, 24, akan tetap dianggap sebagai ahli keluarganya.

“Saya meminta Irah balik ke sini sesekali untuk melawat kami dan menziarah pusara arwah suaminya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Datuk, di Tumpat.

“Irah berjanji untuk datang seminggu sekali selepas ini tapi saya rasa itu agak membebankannya kerana dia menetap di Sungai Besi, Kuala Lumpur...sekali sekala pun sudah memadai, asalkan hubungan kami tidak terputus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan, Fikri, 31, maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di syarikat Honda, Shah Alam pada pagi Isnin lalu.

Ketika itu arwah baharu empat hari mendirikan rumah tangga bersama Nor Shahirah dan menetap di rumah sewa di Shah Alam.

Mek Jah berkata, kali terakhir dia bertemu anak kelima dari enam beradik itu sebelum dia kembali ke Shah Alam pada Ahad lalu dan tiada sebarang perubahan dilihat.

“Sebelum itu, dia ada merancang bersama keluarga untuk berkelah di Kolam Air Panas Pasir Akar, Terengganu pada hari ketiga Aidilfitri nanti.

“Perancangan itu juga akan dianggap sebagai bulan madunya bersama Irah, namun rupa-rupanya dia yang pergi dulu,” katanya sambil menahan sebak.

Sementara itu Nor Shahirah berkata, dia akan cuba datang melawat keluarga mentuanya sekerap yang mungkin memandangkan dia bekerja di tadika di Sungai Besi.

“Saya juga akan cuba berhubung mak menerusi telefon kerana mereka sudah menjadi keluarga saya.

“Saya berkenalan dengan arwah suami hampir setahun sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dan sudah pasti sukar untuk saya melupakannya, namun hidup perlu diteruskan,” katanya.

Katanya, dia kini dalam tempoh bercuti dan akan meluangkan masa beberapa hari lagi di sini bagi menguruskan segala urusan berkaitan arwah suaminya serta kenduri tahlil sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Berita berkaitan

Pilu pengantin empat hari

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 3:46pm
d