mutakhir

Curi di restoran, jual di kedai runcit

Oleh Shamsul Munir Safini

CURI tong gas petroleum cecair (LPG) di restoran sebelum menjualnya kepada pemilik kedai runcit.

Itu dilakukan dua lelaki warga tempatan yang mencuri tong gas dan menjualnya kepada dua lelaki warga Bangladesh yang juga pemilik kedai runcit.

Bagaimanapun, mereka berjaya ditahan dalam empat serbuan di Bukit Mertajam semalam.

Kedua-dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 31 dan 43 tahun itu dipercayai menjadi individu bertanggungjawab mencuri tong gas LPG di beberapa restoran sebelum menjualnya kepada dua lelaki warga asing berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dua lelaki tempatan itu dikehendaki polis dalam beberapa kejadian curi tong gas LPG di sekitar kawasan Icon City dan Auto City.

Katanya, penahanan semua suspek itu susulan laporan dibuat pengurus sebuah restoran di Icon City yang kehilangan 18 tong LPG 26 kilogram bernilai RM1,300 yang diletakkan dalam tempat simpanan gas di premisnya 20 Januari lalu.

Menurutnya, dalam serbuan pertama jam 1.30 tengah hari semalam, polis menahan lelaki tempatan berusia 43 tahun di sebuah rumah di Machang Bubok sebelum membawa kepada penahanan rakannya di Taman Remia.

“Polis kemudian menahan lelaki berusia 31 tahun yang juga rakan suspek di situ dan semakan mendapati dia ada tujuh rekod jenayah lampau.

“Hasil soal siasat, polis berjaya memperoleh maklumat tempat semua tong gas LPG itu dijual dan melakukan dua serbuan susulan,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis kemudian melakukan dua serbuan di dua kedai runcit di Bukit Tengah pada jam 5 hingga 6 petang sebelum menahan dua lelaki warga Bangladesh yang dipercayai pembeli tong gas LPG yang dicuri.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui 34 tong gas pelbagai saiz di dua kedai runcit itu.

“Keempat-empat suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 4:39pm
d