mutakhir

Bau busuk rungkai misteri

Oleh Norizuan Shamsuddin

MISTERI bau busuk rumah jiran membongkar penemuan mayat wanita di sebuah kediaman di Blok C Taman Medan Cahaya, Petaling Jaya hari ini.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, mayat penolong pengurus sebuah syarikat swasta berusia 41 tahun ditemui terbaring di dalam bilik selepas pihak pengurusan memecah masuk kediaman itu susulan aduan bau busuk oleh penghuni blok.

Jiran mangsa, Ismarezzal Ishak, 27, berkata, kejadian disedari selepas dia menghidu bau busuk dari kediaman jiran sebelah rumahnya sejak dua hari lalu.

Katanya, susulan kejadian dia memaklumkan kepada pengurusan bangunan untuk memeriksa kediaman terbabit.

“Sudah dua hari kami menghidu bau busuk dari kediaman jiran yang tinggal sendirian di sebelah rumah saya.

“Pada mulanya saya ingatkan kucing peliharaannya mati berikutan jiran memelihara haiwan itu.

“Bagaimanapun, ketika saya periksa didapati pintu dapur rumahnya tak berkunci dan kebiasaannya dia mengunci semua pintu rumah.

“Susulan itu, kami memaklumkan kepada pengurusan bangunan dan mereka memecah masuk kediaman serta menemui mayat jiran di dalam sebuah bilik,” katanya.

Ismarezzal berkata, jirannya itu sudah lebih dua tahun tinggal di kediaman berkenaan.

Katanya, dia dimaklumkan jirannya bekerja di sebuah beli-belah di Subang Jaya.

“Majikannya memaklumkan bahawa dia sudah tiga hari tidak hadir ke tempat kerja.

“Saya dimaklumkan jiran juga ada penyakit tetapi tak tahu sakit apa,” katanya.

Tinjauan mendapati forensik daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya turut melakukan siasatan di lokasi.

Difahamkan polis sudah menghubungi waris wanita itu dan dia dipercayai mati lebih tiga hari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan mayat terbabit dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenalpasti identiti dan punca kematian.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 6:09pm
d