mutakhir

Licik konon... piiiraah

Oleh Shamsul Munir Safini

SEORANG lelaki licik membeli diesel dengan harga murah menggunakan kad ‘fleet’ minyak beberapa rakannya yang juga pemandu lori syarikat logistik, sebelum menjual bahan bakar itu di pasaran gelap.

Dia berusia lingkungan 50-an dipercayai sudah melakukan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu dan bersekongkol dengan beberapa kenalannya yang memandu lori untuk mendapatkan diskaun diesel sekitar 40 sen.

Mereka kemudian dipercayai menjual diesel itu di pasaran gelap mengikut harga pasaran dengan keuntungan diperoleh dibahagi sesama mereka.

Bagaimanapun, kegiatan tidak bertanggungjawab itu berjaya dilumpuhkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDPNHEP) Pulau Pinang selepas lelaki itu ditahan di Simpang Ampat, Nibong Tebal, 9 pagi, hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNHEP negeri, Md Nasir Muhamad berkata, pihaknya melakukan risikan sejak tiga hari lalu sebelum menemui suspek sedang mengisi diesel ke dalam beberapa tong yang dimuatkan dalam lorinya.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri dengan memecut lorinya, malah turut mencampakkan nozel pam ke lantai dan melanggar pembahagi jalan.

“Namun, dia hanya dapat melarikan diri beberapa meter sahaja sebelum diberkas anggota yang sudah mengepung kawasan.

“Pemeriksaan lanjut menemui 600 liter diesel diisi di dalam tiga tong berasingan, dalam lori itu dan lelaki itu juga membawa anggota ke stor simpanan diesel di sebuah premis miliknya, yang mana kita temui 2,300 liter diesel lagi di dalam beberapa tong,” katanya.

Md Nasir berkata, suspek memperoleh keuntungan antara 30 ke 40 sen bagi setiap liter diesel yang dijual di pasaran gelap dan pihaknya kini giat memburu pemilik kad fleet yang dipercayai menerima komisen daripada kegiatan itu.

Menurutnya, suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 6:23pm
d