mutakhir

Ambil langkah berjaga-jaga susulan cuaca panas

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Pendidikan meminta pihak pengurusan sekolah mengambil langkah berjaga-jaga susulan cuaca panas dan kering yang berterusan di beberapa negeri di utara serta pantai timur Semenanjung Malaysia.

KPM dalam kenyataan hari ini berkata, antara langkah yang perlu diambil termasuk memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas dan menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas.

Selain itu katanya, bekalan air minuman bersih perlu dipastikan mencukupi, menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti sesuai bagi mengawal suhu badan dan membekalkan air minuman kepada murid asrama jika keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.

“Sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan jika berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas,” katanya.

Kenyataan itu berkata, jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah juga hendaklah mengadakan pemantauan bagi memastikan pematuhan langkah itu oleh pengurusan sekolah di negeri dan daerah masing-masing.

“Semua sekolah diingatkan agar lebih peka bahaya cuaca panas dan mengambil tindakan berdasarkan prosedur operasi standard sedia ada,” katanya.

KPM berkata, pihaknya akan membuat pemakluman dari semasa ke semasa terhadap sebarang perubahan berkaitan fenomena yang dialami ketika ini.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 7:56pm
d