mutakhir

Terima kasih semua

Oleh Rosli Ilham

HANYA ucapan syukur mampu dilafazkan mualaf, Mardinah Dabe Martin, 36, selepas dimaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM400 untuk anaknya bermula bulan depan.

Selain bantuan itu, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) juga akan berusaha menyelesaikan masalah sewa rumah keluarga terbabit sebanyak RM450 sebulan.

Mardinah berkata, bantuan sebanyak RM400 itu nanti akan digunakan sebaik mungkin demi membiayai pendidikan empat anaknya.

“Saya sungguh terharu dan terima kasih kepada JKM, kerajaan negeri dan semua pihak yang tidak putus-putus membantu kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro di Perumahan Taman Rakyat Jaya, Dungun, hari ini.

Mardinah berkata, dia turut berterima kasih kepada Kelab Motosikal Freedom Rider yang mendermakan mesin basuh, dapur dan perkakas serta membaiki kerosakan di rumah dan Pertubuhan Karyawan Terengganu serta Kelab Triton Kemaman yang turut sama membantu.

“Kehadiran dan bantuan diberikan semua pihak, termasuk melakukan pendawaian elektrik benar-benar membuatkan saya terharu,” katanya.

Katanya, dia dimaklumkan kerajaan negeri juga akan menghantar dua anak yang hiperaktif, Muhammad Farish Irfaezd Nor Sukaimi, 7, dan adiknya, Muhammad Farish Irdyad, 6, untuk pemeriksaan perubatan bagi menentukan status sama ada mereka layak mendapat bantuan kewangan bulanan.

“Saya sebolehnya mahukan perkhidmatan van yang boleh mengambil dan menghantar dua anak ke sekolah kerana tidak mahu mereka terlepas sarapan disediakan sekolah.

“Selain itu, saya juga mahu bekerja bagi menambah pendapatan, tetapi bimbang dengan keadaan anak dan saya bercadang untuk mencuba pekerjaan secara atas talian saja,” katanya.

Penderitaan Mardinah mendapat perhatian selepas kisah dua anaknya, Muhammad Farish Irsyad, 10, dan Nur Farah Insyirah, 12, mencari makanan di tong sampah di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, Dungun tular di laman sosial.

Dua anaknya yang lain, Muhammad Irfaezd dan Muhammad Farish Irdyad yang hiperaktif pula tidak boleh ditinggalkan bersendirian di rumah sehingga menyebabkan wanita terbabit sukar keluar rumah, termasuk membeli makanan.

Berita berkaitan

Nasib Mardinah sekeluarga terus dibela

Ibu mana yang tak sedih...'

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 8:19pm
d