mutakhir

Anak selamatkan bapa lumpuh

Oleh Fardy Bungga

TINDAKAN pantas anak berjaya menyelamatkan bapanya yang lumpuh daripada rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Bambangan, Papar hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa Zuhaili Abdullah, 28, bagaimanapun melecur di tangan dan kaki selepas terkena bahang api ketika cuba membawa keluar bapanya yang berusia 62 tahun itu.

Ibu dan adik mangsa yang masing-masing berusia 58 dan 23 tahun sempat keluar tanpa kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.48 petang dan mengerahkan sebuah jentera bersama sembilan anggota serta pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, api sudah membakar sebahagian besar rumah berstruktur kayu berkenaan.

“Api berjaya dikawal pada jam 6.12 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 7.45 malam selepas tiada lagi punca-punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Terdapat empat mangsa terbabit dalam kejadian ini namun hanya seorang cedera manakala yang lain selamat,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebelum dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut.

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 10:35pm
d