mutakhir

Maut dihempap kayu balak

Oleh Junaidi Ladjana

PEMANDU treler maut akibat dihempap kayu balak selepas kenderaan itu terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 35 meter di Jalan Bukit Layang-Layang, Tenom, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, mangsa dikenali sebagai Dominic, 30, yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 8.28 malam sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom bergegas ke lokasi.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati sebuah treler muatan kayu balak dipercayai terbabas sendiri dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 35 meter. Terdapat seorang mangsa dihempap muatan kayu balak.

“Pasukan bomba terpaksa mengorek tanah bagi mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, mangsa yang disahkan meninggal dunia kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya jam 12.35 tengah malam,” katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 8:40am
d