mutakhir

Terik hingga hujung Mac

Oleh BERNAMA

Fenomena cuaca panas melanda bahagian barat negara dan negeri Sabah dijangka berterusan hingga hujung Mac depan.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, cuaca panas berlaku ketika ini adalah fenomena biasa yang melanda negara berikutan penghujung Monsun Timur Laut.

“Lazimnya, ketika fasa akhir Monsun Timur Laut ini, memang akan berlaku kenaikan suhu ekoran kekurangan hujan yang mana suhu dicatatkan sekarang adalah 34 hingga 36 darjah Celcius berbanding suhu biasa 32 hingga 34 darjah Celcius.

“Perlis, Kedah dan di utara Perak mencatatkan suhu sehingga 37 darjah Celcius. Bagaimanapun, ia tidak berlaku setiap hari dan setakat ini kita tidak nampak (jangka) ia (suhu) akan sampai hingga 40 darjah Celcius,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Hisham berkata, fenomena cuaca panas itu tidak berlaku di negeri pantai timur dan Sarawak.

Mohd Hisham berkata, taburan hujan dicatatkan kebanyakan negeri pada bulan ini adalah rendah berbanding bulan lain.

“Bulan Februari memang taburan hujan dicatatkan sangat rendah terutamanya di utara yang mana ada tempat langsung tidak menerima hujan.

“Kebanyakan negeri di utara mencatatkan hujan di bawah 50 milimeter (mm) dengan bilangan hari hujan dicatatkan hanyalah lima hari sebulan.

“Stesen Meteorologi Chuping sudah 27 hari tidak merekodkan hujan. Biasanya hujan yang dicatatkan adalah purata 15 hari sebulan. Di Lembah Klang pula, purata hujan dicatatkan bulan ini adalah 150 mm berbanding 300 mm pada bulan lain,” katanya.

Mohd Hisham berkata, suhu tinggi berlaku sekitar jam 2 hingga 4 petang di negeri barat manakala di Sabah sekitar 1 hingga 3 petang.

“Bagaimanapun, cuaca panas ini dijangka berakhir pada pertengahan peralihan monsun iaitu sekitar hujung Mac hingga Mei kerana ketika peralihan monsun, kadar hujan dijangka meningkat dan suhu dijangka beransur menurun,” katanya.

Ditanya sama ada cuaca panas terjadi berikutan fenomena El Nino, Mohd Hisham berkata, fenomena itu tidak memberi impak signifikan kepada cuaca negara ketika ini.

“Sekarang ini adalah proses pembentukan El Nino. Namun, El Nino yang dijangka berlaku adalah agak lemah dan kebarangkalian terjadi adalah 65 peratus.

“Impaknya kepada negara tidak signifikan kecuali di Sabah kerana negeri itu terletak berhampiran dengan Lautan Pasifik yang mana El Nino berlaku berikutan pemanasan suhu di Lautan Pasifik,” katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 12:02pm
d