mutakhir

Bila buku bertemu ruas

Oleh Siti Rohana Idris

PELAJAR perempuan berdepan detik cemas apabila diserang seorang lelaki yang bertindak memasukkan pasir ke dalam mulutnya di perhentian bas Taman Seri Neting, Pengkalan Kubor di Tumpat, semalam.

Bagaimanapun, mangsa bertindak nekad menggigit jari lelaki itu yang kemudian melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata ketika kejadian 6.30 pagi itu, mangsa sedang menunggu bas seorang diri untuk ke sekolah di Pasir Pekan, sebelum didatangi lelaki yang tidak dikenali dari arah belakang dengan menunggang motosikal.

“Suspek menarik mangsa menyebabkannya terjatuh sebelum mencekik leher remaja perempuan itu.

“Lelaki itu kemudian menarik kepala mangsa dan menyembamkannya ke pasir sebelum memasukkan pasir ke dalam mulut menyebabkan remaja itu melawan dengan menggigit jari suspek.

“Dalam keadaan kesakitan, suspek melepaskan mangsa dan segera melarikan diri dengan motosikalnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ekoran kejadian itu, mangsa yang mengalami lebam di leher kanan membuat laporan di Balai Polis Simpangan, di sini.

Menurutnya, pihaknya menolak andaian yang mengatakan terdapat unsur cubaan rogol kerana tiada elemen seperti itu dikesan.

“Kita sedang mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 2:17pm
d