mutakhir

6 dipercayai pengganas ditahan

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

BAHAGIAN Counter Terrorism Cawangan Khas (E8) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan enam suspek dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas.

Mereka terdiri daripada dua warga tempatan dan empat warga asing dari Singapura, Filipina, Bangladesh serta sebuah negara di Asia Selatan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan itu dibuat selepas PDRM melancarkan operasi bermula 19 Disember hingga 28 Januari lalu di Johor Bahru, Selangor dan Sabah.

“Warga Singapura berusia 48 tahun yang bekerja sebagai ahli perniagaan dan aktif berhubung dengan Akel Zainal (rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria) ditahan 19 Disember lalu.

“Suspek juga menerima arahan daripada Akel zainal untuk merekrut beberapa individu bertujuan melancarkan serangan ke atas bangunan freemason di Johor Bahru.

“Tangkapan suspek adalah hasil kerjasama antara cawangan khas dan Internal Security Department (ISD) Singapura. Suspek diserahkan kepada pihak ISD Singapura 7 Januari selepas selesai menjalani proses soal siasat di cawangan khas,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, tangkapan kedua di Klang, Selangor membabitkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pekerja pembersihan.

Menurutnya, suspek dipercayai menyokong perjuangan kumpulan Daesh dan aktif menjalankan kegiatan merekrut individu di negara ini untuk menyertai kumpulan pengganas itu.

“Tangkapan ketiga di Sepang, membabitkan dua lelaki tempatan berusia 38 tahun. Kedua-dua suspek bekerja di ladang di negara luar.

“Mereka diusir pulang ke Malaysia selepas ditahan di negara itu kerana memberi sokongan kepada pengganas Daesh di Syria.

“Seorang daripada yang ditangkap didapati menyalurkan dana kepada Khairul Amizan azmi (rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di syria),” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan keempat di Kota Kinabalu membabitkan seorang lelaki warga Filipina berusia 21 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan.

Katanya, suspek adalah anggota Abu Sayyaf Group (ASG ) dan masuk ke Malaysia sejak Mac 2018 secara tidak sah, dan tangkapan terbaru ini

menjadikan jumlah keseluruhan anggota ASG yang ditangkap sejak 2017 seramai 39 orang.

“Suspek mempunyai kemahiran mengendalikan pelbagai jenis senjata api dan mempunyai hubungan dengan Furuji Indama (pemimpin kumpulan asing di Selatan Filipina),” katanya.

Sementara itu, katanya, tangkapan kelima pada 28 Januari di Puchong, Selangor membabitkan seorang lelaki berasal dari sebuah negara di Asia selatan berusia 26 tahun bekerja sebagai tukang rumah.

“Suspek didapati memberi perlindungan kepada seorang individu dari sebuah negara di Asia Selatan yang disenaraikan dalam Red Notice Interpol kerana terbabit dengan pelbagai aktiviti jenayah serta keganasan.

Menurutnya, kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 2:28pm
d