mutakhir

Nelayan ditahan kerana keliru

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) percaya penahanan bot nelayan milik rakyat tempatan oleh pihak berkuasa Indonesia di barat Pulau Talang, Perak, kelmarin dilakukan secara tidak sah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, terdapat kekeliruan antara pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia mengenai sempadan maritim kerana penahanan bot nelayan tempatan itu dibuat dalam kawasan perairan Malaysia.

“Kita percaya dan mempunyai asas untuk kata penahanan itu dibuat secara tidak sah kerana bot nelayan kita berada di perairan negara sebelum ditahan (pihak berkuasa Indonesia),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ulangtahun Ke-14 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, dekat Kuantan, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Beliau mengulas mengenai insiden sebuah bot nelayan tempatan ditahan pihak penguasa Indonesia ketika masih berada dalam perairan Malaysia.

Penahanan bot nelayan tempatan PKFB 1689 dari Pantai Remis, Perak itu turut membabitkan empat pekerja yang diselamatkan iaitu seorang warga Thailand dan tiga warga Kemboja namun kesemuanya sudah dibebaskan.

Mohd Azis berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Luar bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Kita sedang berusaha untuk membawa pulang bot itu dan usaha ini juga membabitkan kerjasama Kementerian Luar dan juga kerajaan Indonesia

“Perkara ini boleh diselesaikan secara diplomasi antara dua negara berjiran, sebab itu KDN turut meminta bantuan Kementerian Luar untuk menyatakan perkara ini kepada Kerajaan Indonesia,” katanya.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai insiden sama yang didakwa sudah empat kali berlaku sepanjang bulan ini, Mohd Azis berkata, perbincangan lanjut sedang dijalankan antara kedua negara bagi memastikan pihak berkuasa masing-masing mengenal pasti perairan maritim di bawah seliaan mereka.

“Kalau nak kira, memang ada pertindihan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia... tapi, kita sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung perkara itu pada 2012.

“Sepatutnya kedua-dua negara sedia maklum tidak ada tangkapan atau penahanan boleh dilakukan di kawasan (sempadan) bertindih itu.

“Jadi, kita harap perkara seperti ini dapat dibincangkan secara diplomasi dan menang-menang bagi mencari jalan penyelesaian supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 2:47pm
d