mutakhir

Gempur sampai lenyap, syabas PDRM!

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SERAMAI 1,035 kaki judi termasuk warga emas ditahan sepanjang dua minggu Ops Limau dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1 Februari lalu.

Semua ditahan membabitkan 965 lelaki dan 70 wanita tempatan berusia antara 20 tahun hingga 68 tahun yang leka bermain permainan judi seperti judi lumba kuda, judi bola ping pong, judi tong kaw, holo dan tau ngau.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, Ops Limau dijalankan susulan peningkatan kegiatan perjudian sempena musim perayaan Tahun Baru Cina.

Rohaimi berkata, sepanjang tempoh 14 hari Ops Limau juga, sebanyak 176 serbuan dijalankan termasuk di premis judi haram, restoran serta di kawasan kediaman.

Katanya, dalam serbuan itu polis turut merampas wang pertaruhan berjumlah RM650,896.

“Ops Limau ini kita jalankan setiap tahun sempena perayaan Tahun Baru Cina dan bagi tahun ini, operasi bermula sejak 1 Februari lalu hingga 24 Februari depan.

“Kaki judi paling muda ditahan berusia 20 tahun, manakala paling tua berusia 68 tahun,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Rohaimi berkata, menerusi operasi itu juga polis turut berjaya menggempur kegiatan sindiket perjudian simulator di sebuah premis rumah kedai dua tingkat di Ipoh, Perak, Sabtu lalu.

Katanya, dalam serbuan itu, sindiket judi simulator berkenaan menggunakan alat kawalan jauh bagi membolehkan kaki judi bertaruh menerusi aplikasi dipancarkan menggunakan projektor.

“Aplikasi judi dipapar menerusi projektor bagi membolehkan kaki judi bertaruh secara beramai-ramai seperti judi Wukong, permainan slot maharaja dan mesin slot tembak ikan.

“Selain itu, sindiket judi berkenaan turut dikesan menjalankan kegiatan judi bola ping pong atau judi bola golek,” katanya.

Menurut Rohaimi, individu yang mahu berjudi di situ perlu menukar wang tunai kepada bentuk ‘chip’ menerusi kaunter khas yang terletak di belakang premis.

“Pemain yang menang pertaruhan kemudian perlu menukar semula chip bagi menuntut wang tunai,” katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 3:19pm
d