mutakhir

Mayat tanpa identiti bawah jambatan

Oleh Farah Suhaidah Othman

MAYAT lelaki lengkap berpakaian dalam keadaan kembung dengan kulit tertanggal ditemui di Sungai Perak di bawah Jambatan Manong yang masih dalam pembinaan di Kuala Kangsar, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, mayat belum dikenalpasti identiti itu ditemui pekerja pembinaan jambatan itu sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, anggota yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati terdapat satu mayat dipercayai lelaki tersangkut di perangkap sampah di bawah jambatan berkenaan.

Beliau berkata, polis meminta bantuan bomba untuk menaikkan mayat berkenaan sebelum pemeriksaan mendapati keadaan mayat kembung dipercayai sudah meninggal dunia antara lima ke tujuh hari.

“Mayat berkenaan lengkap berpakaian dengan kaki seluar di lipat hingga ke paras betis dan sebahagian kulit sudah tertanggal.

“Pemeriksaan tubuh badan mayat tidak menemui sebarang identiti pengenalan diri, mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataannya di Kuala Kangsar, hari ini.

Razali berkata, hasil bedah siasat dijalankan tidak menemui sebarang unsur jenayah dan pegawai perubatan mengesahkan punca kematian disebabkan mati lemas.

Beliau berkata, cap jari mangsa sudah diambil bagi mengenalpasti identitinya.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 7:06pm
d