mutakhir

Trak ATM terbakar, empat selamat

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

EMPAT anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cemas apabila trak dinaiki mereka tiba-tiba terbakar di Kilometer 4596.9 Lebuhraya PLUS arah utara, di Sungai Buloh, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.57 tengah hari sebelum enam pegawai dan anggota bersama satu jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati api sedang marak sebelum kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya beberapa minit kemudian.

“Ketika kejadian, ada empat anggota ATM termasuk pemandu trak berusia lingkungan 20–an hingga 30-an di dalam kenderaan itu.

“Difahamkan ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Kubu Bharu, Selangor dan berhajat untuk singgah di sebuah kem ATM di Sungai Buloh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Hazrin berkata, kejadian itu disedari anggota ATM terbabit selepas melihat asap keluar daripada bahagian enjin depan trak terbabit.

“Pemandu kemudian memberhentikan kenderaan terbabit di lorong kecemasan sebelum keluar dari trak berkenaan.

“Beberapa minit kemudian, trak itu terbakar dan menyebabkan kenderaan terbabit musnah sepenuhnya dalam kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 7:10pm
d