mutakhir

[UPDATE] Dihempap ketika berlari keluar

Oleh Shamsul Munir Safini

“MANGSA hampir berjaya menyelamatkan diri, namun nasib tidak menyebelahi mereka kerana ditimpa kerangka bumbung yang runtuh ketika sedang berlari keluar,” kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Mokhtar.

Rumusan itu dibuat selepas melihat kedudukan dan keadaan mayat dua mangsa tragedi runtuhan kerangka bumbung sebuah kilang dalam pembinaan Kawasan Perindustrian Juru, Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam kejadian 4.20 petang itu, seorang lelaki warga tempatan P Kumar, 46, dan seorang pengendali kren warga Myanmar berusia 30-an maut manakala empat lagi membabitkan tiga warga Bangladesh dan seorang Indonesia parah.

Saadon berkata, berdasarkan pemeriksaan, kedua-dua mangsa ditemui dihempap struktur bangunan di bahagian belakang mereka seperti sedang berlari menyelamatkan diri dan lokasinya berhampiran kawasan tepi runtuhan.

Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.42 petang sebelum tiba di lokasi kejadian 18 minit kemudian.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kami menjumpai dua mangsa maut berada di kawasan tepi runtuhan termasuk pemandu kren yang dipercayai cuba menyelamatkan diri.

“Ada beberapa mangsa yang cedera berada di kawasan runtuhan sebelum diberi bantuan dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sejurus selepas itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, runtuhan berpunca daripada muncung kren dikendalikan mangsa berlanggar dengan salah satu struktur kerangka bumbung menyebabkan ia terbalik dan mengenai struktur lain sehingga runtuh.

Katanya, berikutan itu, runtuhan itu menimpa pengendali kren yang sedang berlari menyelamatkan diri dan warga tempatan berkenaan.

“Beberapa lagi pekerja ditimpa runtuhan dan mengalami kecederaan.

“Ketika kejadian kebanyakan pekerja sudah selesai bekerja dan keadaan mungkin lebih teruk jika ia berlaku ketika pekerja lain masih bekerja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, semua mangsa dianggarkan berusia antara 30 hingga 46 tahun dan mangsa cedera dilaporkan parah.

Katanya, mangsa warga tempatan yang maut beralamat di Simpang Ampat, Nibong Tebal dan sudah lima tahun bekerja di situ.

“Kami masih menyiasat kejadian itu dan sudah memaklumkannya kepada pihak berkenaan bagi tujuan siasatan lanjut.

“Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke HSJ bagi tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Berita berkaitan

'Dua maut, tiga parah dihempap besi'

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 7:40pm
d